Friday, June 3, 2011

Cermin Diri

Cermin - ia adalah suatu pantulan untuk "mengenali diri"

Cermin Diri

Oleh : Rubaei

Ada satu kisah.
Satu cerita yang ingin saya kongsikan dengan anda semua.
Kisah tentang seekor anak singa.

Ini kisahnya

Terdapat di dalam sebuah hutan belantara yang tebal, dan tidak berpenghunian kecuali haiwan-haiwan liar, dan pelbagai jenis binatang ciptaan Allah SWT.

Suatu masa, ada seorang anak singa yang sangat comel, cute dan cantik bulunya.
Tetapi, anak singa ini tinggal keseekoran.

Ia bersendirian. Ayah dan Emaknya sudah tiada. Tidak tahu ke mana pergi.
Sehinggalah, anak singa ini terserempak dengan sekawan kambing. Kambing yang banyak jumlahnya. Tetiba, sepasang kambing menghampir anak singa itu. Kata kambing betina itu :

“ Ayang, comelnya anak singa inikan. Tapi, saya kesian tengoknya. Tiada siapa yang jaga,” Kata kambing betina itu.

“ Betul tu, comel sangat. Apa kata kita ambil anak singa ini sebagai anak angkat kita,” Jawab kambing jantan dengan penuh belas ehsan.

“ Setuju, setuju. Saya suka anak singa ini. Kita jaga dia baik-baik seperti anak kita. Lagi pun kita tidak ada anak,” Balas kambing betina itu sambil memerhati anak singa itu.

Akhirnya, anak singa itu dibawa pulang oleh kedua-dua kambing itu. Ia dijaga dengan penuh kasih sayang, belaian manja dan ditatang bagaikan minyak yang penuh. Inilah kasih sayang – kehaiwanan – (Ada kah?)

Masa bersilih ganti, berlalu pergi

Maka, dipendekan cerita berlalu masa dari satu hari ke satu hari, dari satu minggu ke satu minggu sehingga anak singa itu membesar.

Sepanjang berada dibawa pemeliharaan “ibu” dan “bapa” barunya itu, anak singa itu membesar dalam kehidupan kekambingan. Ia diajar untuk menjadi kambing, mengembeng seperti kambing, makan juga seperti kambing, dan dalam kata mudah ia sedang dikambingkan.

Suatu hari, anak singa yang terperangkap dalam kehidupan masyarakat kambing ini telah melalui suatu anak sungai yang sangat jernih airnya. Kemudian, tiba-tiba ia dahaga dan terus pergi ke aliran air sungai itu. Setibanya di situ, alangkah terkejutnya apabila dia melihat ke arah permukaan air.

Ada sesuatu yang menarik perhatiannya, raut wajah yang baginya belum pernah dilihat selama ini. Wajah siapakah ini? Si Singa ini kehairanan.

“ Eh? Kenapa wajah aku berbeza dengan rupa ibu dan bapa aku?,” soal hatinya.

“ Setahu aku, ini bukan rupa spesis kambing. Lain benar,” Katanya sambil pelbagai soalan lain bermain-main difikirannya.

Si singa itu, tidak berpuas hati. Lalu diberedar daripada situ dan ingin bertemu dengan kedua ibu bapanya – kambing- untuk mendapatkan jawapan. Aku perlukan jawapan. Siapakah aku yang sebenarnya.?



Rupanya-rupanya ...

Terbongkar

Dipertengahan perjalanan, si singa itu bertemu dengan seekor gajah. Tetapi kelihatan, gajah itu berada dalam ketakutan. Hairan, getus hatinya.

“ Wahai, gajah boleh kah aku bertanyakan suatu soalan?,” Tanya singa itu dengan penuh perasaan ingin tahu.

“ Er, er,, boleh..boleh,” Jawapan gajah terketar-ketar.

“ Siapakah aku yang sebenarnya?,” Katanya dengan penuh kehairanan melihat perubahan wajah yang ada pada gajah.

“ Kau, kau ini ialah seekor singa. Raja rimba ini..,” belum habis member i jawapan gajah itu lari sekuat jiwanya meninggalkan si singa keseekoran.

“ Aku adalah singa?,” Soal si singa itu. Saat itu, baru la ia tersedar akan suatu hakikat. Dia mula tahu dan mengenali dirinya.

Dan buat pertama kalinya dalam hidup anak singa itu menjerit sekuat hatinya dengan ngauman yang sangat kuat.

“ Aku adalah seorang singa.” Jeritan padu laungan si anak singa itu kedengaran.

“ Aku sudah kenal siapa kah aku,” Tempikan yang kuat merentasi suasana hutan belantara.

“ Ngaummmmm..” Jeritannya memecahkan kesunyian hutan rimba itu. Seluruh binatang di hutan rimba terkejut!

Bukan sekadar kisah biasa

Mungkin anda kehairanan, kenapa kisah ini yang saya kongsikan. Saya sangat-sangat sukakan kisah si anak singa ini. Kisah dan cerita yang sangat rapat dengan kehidupan kita. Ia adalah soal mengenali diri sendiri. Lihatlah, bagaimana respon si anak singa itu apabila ia sudah mengetahui siapa kah dirinya yang sebenar.

Bermula dengan pantulan imej yang ada pada permukaan air sungai itu – si anak singa itu telah melihat rupa dan wajah dirinya yang sebenar. Kemudian, dia berusaha mencari identiti dirinya yang baru. Dan, akhirnya apabila mengetahui siapakah dirinya – si anak singa tadi terus melakukan suatu perkara yang sebelum ini ia belum pernah melakukannya iaitu mengaum!

Inilah pentingnya mencermin diri. Cermin diri untuk melihat siapakah diri kita yang sebenarnya. Sedikit komentar saya berkaitan kisah ini untuk kita fikirkan :

(1) Cermin diri di dalam Islam, ialah melakukan koreksi, muhasabah dan proses menghisab diri. MasyaAllah- di dalam Islam proses mencermin diri digalakan agar setiap mukmin tahu akan dirinya.

(2) Mengenal diri meliputi, - kelebihan, kekuatan, potensi, bakat, kekurangan, kelemahan, keaiban dan apa jua perkara berkaitan diri kita – Ia adalah proses yang sangat penting di dalam proses pembentukan dan peningkatan tarbiyah diri.


(3) Amirul Mukminin, Saidina Umar Al-Khattab sentiasa mewar-warkan suatu kata-kata nasihatnya kepada kaum muslimin : “ Hisablah dirimu, sebelum kamu dihisabkan.” Muhasabahlah diri, lihatlah dengan jujur, ikhlas dan tulus tentang diri kita. Amalan kita dan usaha-usaha kita dalam mengharungi kehidupan ini.

(4) Sesi cermin diri, tidak terbatas kepada individu semata-mata tetapi ia sangat penting kepada sesebuah organisasi. Melihat : Kekuatan, Kelemahan, Kesempatan dan Ancaman. Ia merupakan proses untuk melakukan anjakan perubahan dengan menyedari di tahap keberadaan diri dan merancang sesuatu untuk terus meningkat.

(5) Kita ingin menjadi seperti singa tadi. Apabila sudah mengenali diri – akhirnya ia melakukan suatu tindakan yang proaktif. Ia mengaum dengan gauman yang menggegarkan hutan rimba. Ia adalah lambang tindakan yang dinamik dan menyakinkan. Inilah hasilan cermin diri yang sebenarnya.


Di mana kita?

Baiklah, ayuh kita ambil sekeping cermin. Kita lihat wajah, raut dan rupa kita. (“,)

Lihat dengan pandangan hati dan keimanan kita dengan penuh kejujuran, tulus dan keikhlasan.

Melihat dengan dalam, penuh perhatian dan fokus yang tertumpu padu.

Bilakah kali terakhir kita membuat proses penyemakan semula diri kita?

Mudah kata, bilakah kali terakhir kita memuhasabah diri secara serius dan terarah?

Atau bagi kita semua sesi sebegini adalah suatu karutan, dan main-mainan?

“ Ala, gimik modul ini. Buang masa saja kalau buat,”
“ Ini karut-marut daripada mat salleh,”
“ Sikit-sikit muhasabah, siki-sikit koreksi diri, tidak benda lain ke hendak buat?,”

Dialog sebegini yang kerap kali menyapa cuping telinga saya. Memperlekehkan usaha-usaha yang baik untuk mempertingkatkan diri. Saya rasa sedih, kebanyakkan ia berlaku di kalangan pelajar, mahasiswa, dan remaja-remaja kita sendiri.

Tahu kah kita? Muhasabah adalah amalan mulia para Nabi dan Rasulullah terdahulu. Amalan soleh para sahabat-sahabat Nabi, para ulamak dan para pemimpin bijak sana. Kerana – mengenali kekuatan, kelemahan dan potensi diri merekalah, akhirnya pada hari ini tercatat dalam sejarah mereka berjaya mengecapi sebuah kemenangan dan kejayaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman bertakwalah kamu sekalian kepada Allah, dan hendaklah setiap diri, menilai kembali apa yang telah dilakukan untuk menata hari esok. Dan bertakwalah kamu sekalian kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kalian kerjakan”.

Surah al-Hasyr (59 : 18)

Menurut tafsir Syekh Syihabuddin Mahmud bin Abdullah al-Husaini al-Alusi dalam kitabnya Ruhul Ma'ani : " Setiap perbuatan manusia yang telah dilakukan pada masa lalu, mencerminkan perbuatan dia untuk persiapan diakhirat kelak. Kerana hidup di dunia bagaikan satu hari dan keesokan harinya merupakan hari akhirat, merugilah manusia yang tidak mengetahui tujuan utamanya".


Cermin yang paling baik adalah masa lalu, setiap individu memiliki masa lalu yang baik ataupun buruk, dan sebaik-baik manusia adalah selalu menilaii dengan bermuhasabah diri dalam setiap perbuatan yang telah ia lakukan.

Jadi, di manakah kita semua dalam usaha untuk mencermin diri dalam erti kata yang sebenarnya? -

No comments:

Post a Comment