Friday, July 29, 2011

Buat kawan baikku Namanya panggilanya ialah syamir


assalamualaikum

Pada hari isnin hingga khamis 20 hingga 23 june .Pada hari isnin 20 june ,kami semua telah menghadiri program PERAJA di Jeram Pasu.Pada masa itu juga saya berjumpa dengan kawan saya namanya ialah amirul akmal.

Selepas program PERAJA itu tamat kawan saya memeinta izin kepada gurunya untuk mandi -manda.selepas itu,gurunya mengizankannya dan kawan-kawannya mandi diJeram Pasu.Selepas mandi puas dia dan kawannya menukar baju dan terus balik kesekolah.

Selepas berminggu-minggu menunggu syamir di kelas tajwid.Pada keesokannya pula saya menunggu khabar syamir.Ustz saya kata’syamir telah menghadapi penyakit kencing tikus’.Saya terkejutdengan apa yang dikata oleh ustz.Ustz kata sekali lagi ‘syamir telah pengsan 2kali diHospital Kuala Krai dan HUSM’sampailah kehari ini saya tidak tahu keadaan kawan saya.
Sekian terima kasih.disini sajalah cerita ringas saya

Tuesday, June 28, 2011

Al Quraan sentisa mengatur persoalan pendidikan yang paling berkesan bagi membentuk sebuah masyarakat Muslim ditengah


Al Quran sentiasa mengatur persoalan pendidikan yang paling berkesan bagi membentuk sebuah masyarakat Muslim di tengah -tengah pengaruh jahiliah. kini kita berdepan dengan realiti yang sama. Masyarakat kini sentiasa diserang oleh jahiliah sememangnya menghadapi banyak penyakit jika dipandang dari segi hubungan kita dengan Allah S.W.T, dengan islam dan dengan segala tuntutannya.
Di sini marilah kita sama –sama merenung dan meneliti semoga Allah S.W.T member kesempatan untuk kita faham, untuk kita sedar dan untuk kita yakin serta menghayati dengan apa yang ditulis oleh ulama’ Muktabar. ( Rujuk As Syahid Qutub dalam kitab Milestone : Bab Ke 2 )
“ Sesungguhnya Al Quran telah mengubati permasalahan yang pertama dan permasalahan yang besar, permasalahan yang asasi, didalam yang baru ini ( islam ). Permasalahan akidah ternyata lahir beraksi  didalam kaedah pokok dan dasar ,iaitu  Al Uluhiyah, Al Ubudiyyah, dan hubungan yang lahir ( apa yang berhubung dengan kedua –dua ) dari kedua-dua itu. “

Hati yang sentiasa dikuasai oleh Akidah yang sihat yang akan melahirkan Fikrah Islam. Di sini akan lahir nanti kefahaman islam yang mendalam dan kesedaran. Islam dalam kesedaran. Islam dalam keyakinan. Islam dalam melakarkan gerak kerjanya. Islam dalam penglibatan dan kesungguhan yang benar dan demi mencari redha Allah semata –mata.
Kita mendapat kefahaman islam dari proses kesedaran yang betul, sahih dan tepat sepertimana generasi Al Quran faham dan sepertimana generasi itu diproses. Kita kena kembali pada noktah yang betul dan bergerak dengan garis pandu yang betul demi melakarkan titik fokus dan sinar kebahagiaan sebagai hamba Allah dan Khalifah Allah S.W.T.
Marilah kita memahami, merasai dan menghayati kefahaman dan keyakinan ini di pentas kehidupan bersama cahaya hidayah dan redha Allah S.W.T. Segala ketekunan ,kesabaran dan kegigihan dan pengorbanan masa, tenaga, diri dan seluruh yang ada ini adalah dalam rangka mencapai mardhatillah.
Penghayatan dan kefahaman ini akan bersatu membina kekuatan .Segala kefahaman,penghayatan, pengorbanan, ukhuwwah dan fikrah serta segala aspek pencernaan akan menjadi pemangkin generasi dakwah yang cukup jelas demi melahirkan ummah islam hakiki dalam realiti  kini.
Sekian bicara ringkas kali ini dari Abu Huzaifah……

Friday, June 3, 2011

Kita kena sabar sebab sabar itu cantik

"Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan. "Cantik macam syurga ker ummi?" adik tanya lagi. Ummi senyum.

Adik bangun pagi. Adik kesat mata. Walid yang kejut adik. Adik mengantuk sangat. Adik tarik gebar semula. Tidur balik. Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik. Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi.
Lepas mandi adik pakai baju baru. Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri. Semua orang pakai baju baru. Tapi adik tengok ummi pakai baju buruk,walid pun pakai baju buruk. Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu. Ummi kata cukuplah adik seorang pakai baju baru. Walid pimpin tangan adik pergi masjid. Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil. Sepanjang jalan adik dengar takbir raya. Allahu Akbar Allahu Akbar, La ilaha illallah huallahu akbar, Allahu Akbar wallilla hilham.. Adik khusyuk dengar. Merdu. Adik angkat tangan ke telinga, lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya. Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik. Di persimpangan jalan, kami bertemu Pak Cik Nassier jiran adik.
Adik pandang walid. Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nassier. Adik dengar walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama negara adik pun walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham. Adik cuma mendengar. Adik tiba di perkarangan masjid. Masjid itu besar,tersergam indah. Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Kaabah di Mekah. Masjidil Aqsa juga adalah salah satu tempat suci dalam Islam. Nabi Muhammad pun mengalami peristiwa Israk dan Mikraj di masjid ini. Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid. Adik lihat ramai orang. Semuanya duduk dalam saf. Walid tarik adik duduk dipenjuru masjid, kemudian walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut walid solat raya. Adik berdiri betul-betul dekat dengan walid. Adik pandang walid. Bila walid angkat tahbiratul ihram adik pun angkat. Mulut walid kumat kamit membaca sesuatu. Adik pun ikut sama walaupun adik tak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk,adik rukuk. Walid sujud,adik sujud. Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik. Suasana ketika itu tenang dan damai. Adik suka ketenangan.
 Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi. Tiba-tiba ketenangan itu diragut. Adik nampak ramai orang bertempiaran lari. Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid. Adik dengar bunyi kuat. Bunyi tembakan. Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir Allahu Akbar. Adik takut. Adik pejam mata. Kaki walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti. Pautan tangan walid longgar dan akhirnya terlerai. Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik. Adik pandang belakang. Mata adik terbeliak. Adik nampak tubuh walid. Kepala walid berdarah. Adik menjerit nama walid.

Manik-manik jernih bergentayangan dan gugur satu persatu dari tubir kelopak mata adik. Walid pandang adik. Walid cium pipi adik. Walid suruh adik lari. Adik geleng kepala. Adik pegang tangan walid. Adik hendak duduk di sisi walid. Walid senyum pada adik. Mulut walid lemah menutur kalimah syahadah. Adik goyang tubuh walid. Walid tidak bergerak. Walid kaku.

"Waliiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!!!!!"
Adik kesat air mata. Adik lari kuat-kuat. Adik lari tidak kalih kiri dan kanan. Sampai di rumah, adik terus menangis. Ummi hairan tengok adik. AAdik sebut nama walid berkali-kali. Mayat walid di hantar ke rumah tidak lama selepas itu. Adik masih menangis. Adik tengok ummi cium dahi walid. Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan ummi. Abang yang duduk dipenjuru dinding juga menangis. Abang dah besar. Umur abang enam belas tahun. Abang pergi dekat walid,abang peluk dan cium walid. Selepas sembahyang adik nampak orang angkat walid keluar rumah
Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut. Adik duduk rumah dengan ummi.Adik tanya ummi, mana perginya walid. Diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut ummi. Ummi pandang adik, ummi kata walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk. "Adik nak ikut walid" Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi ummi. Adik senyum, ummi senyum.

Petang itu ramai kawan abang datang. Abang ajak mereka ke belakang rumah. Adik berlari-lari anak ikut abang ke belakang. Abang tekun membuat sesuatu.
Sesuatu yang menyerupai senapang. Adik cuma duduk diam dan tengok. Kawan-kawan abang pun khusyuk membuat kerja. Adik menguap berkali-kali. Boring duduk diam tanpa melakukan sebarang kerja. Tidak keletah adik dibuatnya Mata adik melilau-lilau mencari barang mainan. Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek. Sedang adik seronok bermain, abang rampas 'bola' adik. Adik masam. Adik tarik muncung empat belas. Adik marah pada abang. Abang tersenyum melihat tingkah laku adik. Dengan lembut abang mencubit pipi montel adik. Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan bukannya bola seperti yang disangka adik Adik diam, kemudian berlari mendapatkan ummi.
Merajuk.
Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari-hari lain, walid tidak ada untuk kejut adik. Apabila teringat walid,mata adik berkaca. Adik tidak mahu menangis. Adik orang lelaki. Orang lelaki tidak boleh menangis, orang lelaki kena kuat dan tabah. Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa. Benda bulat seperti bola pun abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menungu di depan rumah. Abang cium tangan ummi, minta izin untuk pergi. Ummi peluk abang,cium abang berkali-kali. Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil. Adik garu kepala yang tidak gatal. Abang datang dekat adik. Abang dukung adik,usap kepala adik. "Adik jaga ummi ya" pesan abang.

"Abang nak pergi mana" tanya adik seperti orang bodoh.
"Abang nak pergi berjuang". Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.
Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi. Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang. Lepas abang pergi ummi cerita macam-macam perkara pada adik. Pasal Israel, pasal syurga, pasal jihad dan banyak lagi.
Semuanya adik tidak faham. "Isra..Israfil." terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. "Bukan Israfil. Israfilkan nama malaikat. Malaikat yang tiup sangka kala. Israel." Ummi membetulkan sebutan adik. "Is.ra.el" akhirnya adik berjayamenyebutnya juga. Ummi ketawa kecil.

Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang ronggak. Ummi kata Israel jahat. Israel musuh umat Islam. Israel juga musuh Allah. Israel yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin. Israel yang bunuh walid. Adik benci Israel. Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah. Adik lari keluar rumah. Adik pergi ke jalan besar. Ramai kanak-kanak sebaya adik di situ. Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan. Adik ingat lagi, tentera itulah yang bunuh walid. Merekalah Israel. Adik marah. Adik geram. Adik capai batu, adik baling kuat-kuat. Adik pejam mata. Terbayang di kepala adik peristiwa yang
menimpa walid. Adik sertai kawan-kawan adik yang lain; membaling batu.
Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas. Ada juga kawan-kawan adik kena tembak. Tumbang satu persatu. Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah. Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk
menyelamatkan diri. Adik lari bersama seorang kawan adik. Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik. Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah. Adik berjanji dengan Jamal untuk melontarkan batu lagi pada keesokkan harinya. Sesampai di rumah adik berasa sangat lapar. Adik cari roti di dapur. Adik buka almari, adik
cari dalam almari tapi tidak jumpa. Perut adik mula berbunyi minta diisi. Adik sudah makan roti petang tadi tapi adik masih berasa lapar lagi. Adik nampak ummi pegang roti. Itu sajalah satu-satunya roti yang tinggal di rumah kami. Ummi tidak makan apa-apa lagi sejak pagi tadi. Adik pergi dekat ummi. Ummi yang baru menyuapkan roti ke mulutnya tersentak. Ummi keluarkan semula roti dari mulutnya dan suapkan ke mulut adik. Adik kunyah dengan gelojoh.

"Ummi, kenapa kita hidup susah?" adik tanya pada ummi dengan mulut dipenuhi roti. Ummi pangku adik di ribanya. Ummi mengelus lembut rambut adik.
"Kita kena sabar sebab sabar itu cantik" ujar ummi perlahan.
"Cantik macam syurga ker ummi?" adik tanya lagi.

Ummi senyum.
"Nabi Muhammad pun hidup susah juga. Baginda dilontar batu ketika menyebarkan dakwah di Taif. Malahan kaum Quraisy ramai yang ingin bunuh nabi. Nabi sabar,nabi tak cepat putus asa" sambung ummi lagi. Adik dengar dengan khusyuk. Adik nak jadi baik macam Nabi Muhammad. Nama adik pun Muhammad. Walid yang cadangkan nama itu. Walid hendak adik tabah dan cekal macam Nabi Muhammad.

Malam itu adik duduk bersila depan ummi sambil tangan memegang Al-Quran. Adik ikat serban sendiri. Adik lilit serban ikut suka hati adik. Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan. Kadang-kadang serban itu tutup mata adik. Adik kuak sedikit kain serban ke atas ketika hendak membaca Al-Quran. "Bismillahirrahmanirrahim.."
Adik baca Al-Quran dengan bersungguh-sungguh. Adik baca kitab Allah itu dengan tekun. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik. Adik hendak jadi macam abang. Umur enam tahun sudah khatam Al-Quran. Adik baru umur tiga tahun. Adik kena baca Quran dengan rajin kalau hendak khatam Al-Quran cepat macam abang. Adik ingat pesanan ummi. Ummi kata Al-Quranlah satu-satunya harta yang paling berharga. Adik ingin baca Al-Quran hari-hari. Adik tidak mahu ponteng baca Al-Quran. Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama ummi dilaung-laungkan dari luar.

"Syukur ya Huda, anakmu Yassin mati syahid"muncul Mak Cik Fatima di depan rumah.

"Anakmu,anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Huda.
Tindakannya menyebabkan tujuh orang askar Israel laknatullah terbunuh. Yassin dan tiga orang lagi pejuang Hizbullah mati syahid. Semoga syurga menanti mereka kelak" terang Mak Cik Fatima panjang lebar.

Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Nama Israfil.bukan..Israel disebut lagi. Adik benci mendengar nama itu. Kemarahan adik meluap-luap. Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut walid. Ummi kata ummi bangga mempunyai anak seperti abang. Adik masuk tidur awal. Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik. Adik nampak walid dan abang di sana. Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba kejar mereka tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang. Keesokkan harinya, adik tunggu Jamal di tepi jalan seperti yang dijanjikan. Lima minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul.
Adik tidak mahu jadi munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal juga Seperti walid dan abang. Jamal pergi ke satu tempat yang cantik. Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya. Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu. Mula-mula walid,kemudian abang dan akhirnya Jamal.

Adik pulang ke rumah awal. Adik terkejut. Terkesima sebentar. Rumah adik dikepung askar Israel. Mereka memang sedang mencari keluarga adik ekoran tindakan berani mati abang mengebom kubu Israel. Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah. Adik nampak ummi terpelosok di satu sudut. Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang ummi. Mereka sepak dan
terajang ummi. Tapi ummi masih bersabar. Ummi tidak putus-putus menyebut satu kalimah keramat.
Ahad..Ahad. Mata adik merah.
Adik menahan marah. Adik tidak suka orang pukul ummi. Adik sayang ummi. Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol ke arah ummi. Ummi dengan tenang menghadapinya. Tiada pun segaris garisan gusar terpancar di wajah ummi. Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba.....

"Muhammad!!!!!!!" Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik. Badan adik berlumuran darah.

Pekat dan merah. Adik raba perut adik. Adik rasa sakit. Sakit yang mencucuk-cucuk.

Seketika tadi adik telah korbankan tubuhnya untuk melindungi ummi. Natijahnya peluru itu merobek perut adik yang tidak berdosa. Ummi peluk adik. Ummi menangis semahu-mahunya. Adik cuba senyum pada ummi walaupun perit.

"Ummi.adik rasa mengantuk,adik nak tidur.Adik nak jadi mujahid,adik nak ikut walid dan abang" terketar-ketar suara adik kedengaran di cuping telinga ummi. Ummi angguk,berusaha sedaya upaya untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran.Adik pejam mata. Adik nampak walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik.

Note: kiriman : mizy"

Memujuk Hati



Air matamu itu, biarkanlah ia mengalir sepuas-puasnya

Memujuk Hati

Seruan dan pujukan ini buat diri dan sahabat-sahabat seperjuangan sekalian,

Melalui jalan dan berada dalam bahtera ini kadang kalanya membuatkan jiwa dan hati kita tersentak, terguris dan terasa dengan pelbagai karenah manusia. Kerana kekurangan, kelemahan, kealpaan, dan kecuaian diri sendiri – kita sering kecewa dan dikecewakan. Apatah lagi, apabila mengenangkan diri yang mempunyai 1000 kesalahan, kesilapan, keaiban dan pelbagai rupa bentuk kelemahan yang “malu” untuk diketengahkan.

Dan, saat dan ketikanya – kita diuji dan diuji dengan kepedihan demi kepedihan. Bagi yang berkorban, mulai teretak dengan “kepedihan dalam berkorban”. Ketika diselubungi, kekecewaan, keputus asaan, dan kehibaan, maka hadapkan hatimu sepenuhnya kepada Allah SWT. Hadaplah ia dengan penuh kerendahan dan kehinaan.

Wahai diri dan wahai sahabat-sahabat seperjuangan,

Seorang Murabbi selalu berpesan agar banyakkan bersabar. Bersabar dan bersabarlah. Bersabarlah dalam kesabaran jika diuji, dicuba, dicabari, didugai dan disakiti.

Kata Murabbi : “ Wahai sahabat-sahabat, kuatkanlah kesabaran antum. Bersabarlah dan bersabarlah.”


Kesedihan, dan kekecewaanmu jangan dirungsingkan

Untaian madah pujukan kesabaran

Bersabarlah – sahabat - dalam menghadapi pelbagai keinginan, hajat dan kehendak perasaan,

Bersabarlah dalam memasang dan memendam kemuncak cita-cita , ia yang memerlukan banyak pengorbanan dan menuntut masa yang panjang untuk meraihnya.

Bersabarlah terhadap kelemahan, keaiban dan kekurangan diri serta teman-teman disamping mu

Bersabarlah dalam berhadapan dengan naluri kegopohan dan kebosanan, ia akan menghambatmu di saat-saat semangat memuncak tinggi

Bersabarlah terhadap keinginan manusia yang diselaputi kejahilan dan penyelewengan yang nyata, ia sering mengheretmu kelemahan penyesalan

Bersabar dan terus bersabarlah terhadap mereka yang terlalu mendesak - terburu-buru inginkan hasil yang segera

Bersabar - wahai diri- berhadapan dengan masalah kekurangan para pembantu, peneman dan penguat yang dekat disisi

Bersabarlah dengan kesabaran yang kuat ketika bermuhajadah melawan godaan syaitan di saat kesusahan dan kesempitan

Bersabarlah jua, ketika berada dalam titian perjuangan yang penuh warna suka dan duka

Bersabarlah juga untuk menelan segala kepahitan dalam berkorban

Bersabarlah di saat meraih kemenangan dan kejayaan yang hadir tanpa diduga

Bersabarlah dengan kurniaan kemewahan dan kesenangan yang dikurniakan olehNya

Bersabarlah juga agar sentiasa tetap memelihara hubungan hati dengan Allah SWT sehingga ke akhirnya

Bersabarlah, agar kesabaran ini akan menambahkan kesabaran demi kesabaran.

Bersabarlah agar kamu cekal dan tabah

Bersabarlah jika perasaan lemah mulai menghimpit diri

Bersabarlah jika kelemahan demi kelemahan menghambat diri

Penawar hati bagi yang resah durjana

Kesatlah linangan air matamu,
Tangisan dan esakan itu, harus segera dihindari.

Firman ALLAH (maksudnya)

“ Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”

(Surah Ar-Rum (30) : 54)

Usah biarkan dirimu yang lemah ini terus menerus berada di lembah kelemahan. Jangan biarkan hari- hari yang berlalu ini berlepas pergi dengan tangisan, esakan dan teriakan keputusasaan yang melemahkan jiwa, semangat dan tekadmu.

Di sebalik kelemahan yang Allah ciptakan kepada kita Allah meniupkan kata-kata semangatNya dengan memujuk hati kita yg remuk-rendam.

Firman ALLAH (maksudnya):

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”

(Surah Ali-Imran (3) : 139)


Semoga titipan ini memujuk dan melegakan sedikit perasaanku dan perasaan kalian.
Ah, benar. Bersabar itu perlukan tindakan. Bersabar untuk belajar bersabar.

Bicara Murabbi : Sungguh Aneh




Sungguh aneh, air mata ini kering apabila kerinduan dan kecintaan kepada-Nya menyapa. Seolah-olah hati ini gersang kering, kaku tidak bermaya. - Adakah ia telah mati?



Bicara Murabbi : Sungguh Aneh

Kalam dan mutiara nasihat Abu Umar benar-benar menyentuh hati dan menusuk kalbu saya.
Merenung panjang saya melihat diri, menginsafi setiap perbuatan harian di bumi ini
Menyedari akan hakikat kelemahan, kealpaan dan kekurangan diri.

Seruan, dan peringatannya sangat-sangat kena pada saat dan ketikanya.
Bagi saya, setiap yang tercatat ini adalah kalam peringatan buat saya.
Seolah-olah Abu Umar sedang berbicara berhadapan dengan saya.
Bicara seorang Murabbi dari hati untuk santapan hati anak didiknya.

Saya kongsikan jua buat para sidang pembaca yang budiman,
Agar setiap daripada kita mampu mengutip ibrah buat pedoman.

Sungguh Aneh

Sungguh aneh bagi seseorang yang merasakan dirinya sebagai Da'ie ilallah namun tidak dapat menikmati kemanisan solatnya! Bukankah jalan hidupnya terlalu sukar, bebannya tidak tertanggung dan simpang siurnya terlalu banyak dan mengelirukan?

Bukankah segala penat lelahnya, segala pengorbanannya, setiap titisan keringat dan air matanya untuk Dia, Pemilik jiwa dan kehidupan?

Bukankah segala rindu dan cinta, segala harap dan asa bahkan seluruh rasa tawakkal hanya padaNya?

Kenapa kini, ketika tubuh sedang mengadapNya, sedang jiwa dalam perhatianNya....kita tidak menemuiNya dalam hati kita? Bahkan kita tidak temui cinta dan rindu padaNya.

Benarkah segala yang kita korbankan selama ini untukNya? Benarkah yang kita cari selama ini adalah redhaNya?


Sungguh aneh bagi seseorang yang merasakan dirinya sebagai Murabbi ilallah namun umurnya tidak menambahkan keakrabannya dengan Al Quran! Bukankah hidayah itu milikNya, yang membolak balikkan hati itu adalah Ar Rahman bahkan yang memberi taufiq dan kekuatan itu juga adalah Dia yang Maha Agung.

Bukankah jiwa manusia itu terlalu liar dan rumit untuk difahami sedangkan jalan menundukkannya itu berada dalam KalamNya? Bukankah Kalimah-KalimahNya mampu memecahkan gunung apatah lagi menundukkan hati manusia?

Bukankah kehidupan itu sendiri sukar untuk dimengerti apatah lagi dikendali sedangkan segala PengajaranNya telah tersedia dan terpelihara dalam mushafNya namun kenapa jiwa kita masih mampu jauh dari panduanNya?

Benarkah kita sedang mengajak manusia kepadaNya? Benarkah langkah kita sedang mendekatkan diri kita padaNya?

Jadi...

Milik siapakah jiwa ini?
Untuk siapakah segala pengorbanan yang ku curahkan selama ini?
Dan kepada siapakah diri ini akan kembali?

Catatan ini untuk diriku yang sedang menangisi kegersangan hati, sengaja dikongsikan dengan sesiapa yang turut mengalaminya. Semoga Allah menjadikan kita sentiasa dalam RahmatNya. Ya, hanya RahmatNya yang akan menyelamatkan kita dari azab siksa Neraka dan mengantar kita ke Syurga.

Abu Umar

Penutup kata - BH

1)- “ Ilahi, Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Berikanlah kenikmatan dan kemanisan buat jiwa dan sanubari ini dalam beribadah kepadamu. Campaklah kekhusyukan yang tenang dalam solat yangku didirikan.” – Munajat hamba dinihari yang dingin

2)- Pesanan Murabbi ku acapkali : “ Peliharalah hubungan kalian dengan Allah SWT. Rasailah kemanisan dalam mencintai-Nya dan hangatkanlah rasa kerinduan yang berpanjangan kepada-Nya.”

3)- Masih basah dalam ingatan ku kata-kata seorang sahabat senior ketika di IPT, “ Carilah Allah SWT di dalam hidup kalian, apabila telah menjumpai-Nya di dalam celah-celah kehidupan yang fana ini maka kenalilah-Nya, cintailah – Nya dan hargailah saat-saat kalian merasai hangatnya rasa kerinduan kepada-Nya,” . Kata-kata ketika itu saat hidup, menyapa kalbu gersangku dan membuatkan air mataku mengalir deras di pipi yang kering. “ Ilahi, aku sudah kehilangan cinta hakikiku.”

Cermin Diri

Cermin - ia adalah suatu pantulan untuk "mengenali diri"

Cermin Diri

Oleh : Rubaei

Ada satu kisah.
Satu cerita yang ingin saya kongsikan dengan anda semua.
Kisah tentang seekor anak singa.

Ini kisahnya

Terdapat di dalam sebuah hutan belantara yang tebal, dan tidak berpenghunian kecuali haiwan-haiwan liar, dan pelbagai jenis binatang ciptaan Allah SWT.

Suatu masa, ada seorang anak singa yang sangat comel, cute dan cantik bulunya.
Tetapi, anak singa ini tinggal keseekoran.

Ia bersendirian. Ayah dan Emaknya sudah tiada. Tidak tahu ke mana pergi.
Sehinggalah, anak singa ini terserempak dengan sekawan kambing. Kambing yang banyak jumlahnya. Tetiba, sepasang kambing menghampir anak singa itu. Kata kambing betina itu :

“ Ayang, comelnya anak singa inikan. Tapi, saya kesian tengoknya. Tiada siapa yang jaga,” Kata kambing betina itu.

“ Betul tu, comel sangat. Apa kata kita ambil anak singa ini sebagai anak angkat kita,” Jawab kambing jantan dengan penuh belas ehsan.

“ Setuju, setuju. Saya suka anak singa ini. Kita jaga dia baik-baik seperti anak kita. Lagi pun kita tidak ada anak,” Balas kambing betina itu sambil memerhati anak singa itu.

Akhirnya, anak singa itu dibawa pulang oleh kedua-dua kambing itu. Ia dijaga dengan penuh kasih sayang, belaian manja dan ditatang bagaikan minyak yang penuh. Inilah kasih sayang – kehaiwanan – (Ada kah?)

Masa bersilih ganti, berlalu pergi

Maka, dipendekan cerita berlalu masa dari satu hari ke satu hari, dari satu minggu ke satu minggu sehingga anak singa itu membesar.

Sepanjang berada dibawa pemeliharaan “ibu” dan “bapa” barunya itu, anak singa itu membesar dalam kehidupan kekambingan. Ia diajar untuk menjadi kambing, mengembeng seperti kambing, makan juga seperti kambing, dan dalam kata mudah ia sedang dikambingkan.

Suatu hari, anak singa yang terperangkap dalam kehidupan masyarakat kambing ini telah melalui suatu anak sungai yang sangat jernih airnya. Kemudian, tiba-tiba ia dahaga dan terus pergi ke aliran air sungai itu. Setibanya di situ, alangkah terkejutnya apabila dia melihat ke arah permukaan air.

Ada sesuatu yang menarik perhatiannya, raut wajah yang baginya belum pernah dilihat selama ini. Wajah siapakah ini? Si Singa ini kehairanan.

“ Eh? Kenapa wajah aku berbeza dengan rupa ibu dan bapa aku?,” soal hatinya.

“ Setahu aku, ini bukan rupa spesis kambing. Lain benar,” Katanya sambil pelbagai soalan lain bermain-main difikirannya.

Si singa itu, tidak berpuas hati. Lalu diberedar daripada situ dan ingin bertemu dengan kedua ibu bapanya – kambing- untuk mendapatkan jawapan. Aku perlukan jawapan. Siapakah aku yang sebenarnya.?



Rupanya-rupanya ...

Terbongkar

Dipertengahan perjalanan, si singa itu bertemu dengan seekor gajah. Tetapi kelihatan, gajah itu berada dalam ketakutan. Hairan, getus hatinya.

“ Wahai, gajah boleh kah aku bertanyakan suatu soalan?,” Tanya singa itu dengan penuh perasaan ingin tahu.

“ Er, er,, boleh..boleh,” Jawapan gajah terketar-ketar.

“ Siapakah aku yang sebenarnya?,” Katanya dengan penuh kehairanan melihat perubahan wajah yang ada pada gajah.

“ Kau, kau ini ialah seekor singa. Raja rimba ini..,” belum habis member i jawapan gajah itu lari sekuat jiwanya meninggalkan si singa keseekoran.

“ Aku adalah singa?,” Soal si singa itu. Saat itu, baru la ia tersedar akan suatu hakikat. Dia mula tahu dan mengenali dirinya.

Dan buat pertama kalinya dalam hidup anak singa itu menjerit sekuat hatinya dengan ngauman yang sangat kuat.

“ Aku adalah seorang singa.” Jeritan padu laungan si anak singa itu kedengaran.

“ Aku sudah kenal siapa kah aku,” Tempikan yang kuat merentasi suasana hutan belantara.

“ Ngaummmmm..” Jeritannya memecahkan kesunyian hutan rimba itu. Seluruh binatang di hutan rimba terkejut!

Bukan sekadar kisah biasa

Mungkin anda kehairanan, kenapa kisah ini yang saya kongsikan. Saya sangat-sangat sukakan kisah si anak singa ini. Kisah dan cerita yang sangat rapat dengan kehidupan kita. Ia adalah soal mengenali diri sendiri. Lihatlah, bagaimana respon si anak singa itu apabila ia sudah mengetahui siapa kah dirinya yang sebenar.

Bermula dengan pantulan imej yang ada pada permukaan air sungai itu – si anak singa itu telah melihat rupa dan wajah dirinya yang sebenar. Kemudian, dia berusaha mencari identiti dirinya yang baru. Dan, akhirnya apabila mengetahui siapakah dirinya – si anak singa tadi terus melakukan suatu perkara yang sebelum ini ia belum pernah melakukannya iaitu mengaum!

Inilah pentingnya mencermin diri. Cermin diri untuk melihat siapakah diri kita yang sebenarnya. Sedikit komentar saya berkaitan kisah ini untuk kita fikirkan :

(1) Cermin diri di dalam Islam, ialah melakukan koreksi, muhasabah dan proses menghisab diri. MasyaAllah- di dalam Islam proses mencermin diri digalakan agar setiap mukmin tahu akan dirinya.

(2) Mengenal diri meliputi, - kelebihan, kekuatan, potensi, bakat, kekurangan, kelemahan, keaiban dan apa jua perkara berkaitan diri kita – Ia adalah proses yang sangat penting di dalam proses pembentukan dan peningkatan tarbiyah diri.


(3) Amirul Mukminin, Saidina Umar Al-Khattab sentiasa mewar-warkan suatu kata-kata nasihatnya kepada kaum muslimin : “ Hisablah dirimu, sebelum kamu dihisabkan.” Muhasabahlah diri, lihatlah dengan jujur, ikhlas dan tulus tentang diri kita. Amalan kita dan usaha-usaha kita dalam mengharungi kehidupan ini.

(4) Sesi cermin diri, tidak terbatas kepada individu semata-mata tetapi ia sangat penting kepada sesebuah organisasi. Melihat : Kekuatan, Kelemahan, Kesempatan dan Ancaman. Ia merupakan proses untuk melakukan anjakan perubahan dengan menyedari di tahap keberadaan diri dan merancang sesuatu untuk terus meningkat.

(5) Kita ingin menjadi seperti singa tadi. Apabila sudah mengenali diri – akhirnya ia melakukan suatu tindakan yang proaktif. Ia mengaum dengan gauman yang menggegarkan hutan rimba. Ia adalah lambang tindakan yang dinamik dan menyakinkan. Inilah hasilan cermin diri yang sebenarnya.


Di mana kita?

Baiklah, ayuh kita ambil sekeping cermin. Kita lihat wajah, raut dan rupa kita. (“,)

Lihat dengan pandangan hati dan keimanan kita dengan penuh kejujuran, tulus dan keikhlasan.

Melihat dengan dalam, penuh perhatian dan fokus yang tertumpu padu.

Bilakah kali terakhir kita membuat proses penyemakan semula diri kita?

Mudah kata, bilakah kali terakhir kita memuhasabah diri secara serius dan terarah?

Atau bagi kita semua sesi sebegini adalah suatu karutan, dan main-mainan?

“ Ala, gimik modul ini. Buang masa saja kalau buat,”
“ Ini karut-marut daripada mat salleh,”
“ Sikit-sikit muhasabah, siki-sikit koreksi diri, tidak benda lain ke hendak buat?,”

Dialog sebegini yang kerap kali menyapa cuping telinga saya. Memperlekehkan usaha-usaha yang baik untuk mempertingkatkan diri. Saya rasa sedih, kebanyakkan ia berlaku di kalangan pelajar, mahasiswa, dan remaja-remaja kita sendiri.

Tahu kah kita? Muhasabah adalah amalan mulia para Nabi dan Rasulullah terdahulu. Amalan soleh para sahabat-sahabat Nabi, para ulamak dan para pemimpin bijak sana. Kerana – mengenali kekuatan, kelemahan dan potensi diri merekalah, akhirnya pada hari ini tercatat dalam sejarah mereka berjaya mengecapi sebuah kemenangan dan kejayaan.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Hai orang-orang yang beriman bertakwalah kamu sekalian kepada Allah, dan hendaklah setiap diri, menilai kembali apa yang telah dilakukan untuk menata hari esok. Dan bertakwalah kamu sekalian kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kalian kerjakan”.

Surah al-Hasyr (59 : 18)

Menurut tafsir Syekh Syihabuddin Mahmud bin Abdullah al-Husaini al-Alusi dalam kitabnya Ruhul Ma'ani : " Setiap perbuatan manusia yang telah dilakukan pada masa lalu, mencerminkan perbuatan dia untuk persiapan diakhirat kelak. Kerana hidup di dunia bagaikan satu hari dan keesokan harinya merupakan hari akhirat, merugilah manusia yang tidak mengetahui tujuan utamanya".


Cermin yang paling baik adalah masa lalu, setiap individu memiliki masa lalu yang baik ataupun buruk, dan sebaik-baik manusia adalah selalu menilaii dengan bermuhasabah diri dalam setiap perbuatan yang telah ia lakukan.

Jadi, di manakah kita semua dalam usaha untuk mencermin diri dalam erti kata yang sebenarnya? -